Cerpen : The Living Baba Yaga [Malay]

 Kisah tentang Baba Yaga, kepercayaan dongeng yang telah diubah suai oleh diri ku yang serba kekurangan.
Bukan cerita yang Cahya suka plotnya.
Mungkin penulisan terlalu terus ke objektif.
Masih ada ruang-ruang kosong yang tidak dpenuhi.
Beberapa ciri positif Cahya ambil sebagai panduan untuk menghasil kan 
cerpen yang menggambarkan Baba Yaga bukan lah seorang yang kejam
seperti yang selalu digambarkan dalam mitos.
Penat mendengar cerita nenek kebayan yang jahat? Cuba baca kisah ini….

Itu bukanlah tempat yang Serylina kenal, ataupun pernah pergi, pepohon-pepohon rimbun hijau, wangian hutan belantara, sejuk dan dingin. Tiba-tiba dada Serylina berdegup kencang, tempat itu… Apakah tempat ini? Serylina cuba membangunkan dirinya menggunakan tangan, namun dia jatuh semula ke atas tanah. Terbaring dan kaku. Tubuhnya lemah. Matanya mula berpinar, dalam kesamaran, dia terlihat bayang-bayang hitam yang menghampirinya sebelum semuanya beransur kelam.
Mata Serylina terbuka lagi, kepalanya masih berat, dia cuba mendongak. Menyedari dirinya berada dia atas sebuah katil kayu yang hanya beralaskan tikar yang hampir koyak. Usang. Matanya membelek persekitaran, dindingnya buluh dan nipah. Dia cuba duduk dengan segala upaya yang ada, saat kakinya menyentuh lantai, terdengar bunyi kiukan buluh yang menahan berat Serylina. Persoalannya, dimanakah dia?
Dalam ruangan bilik itu hanyalah sebuah jendela yang tertutup cuma diikat dengan tali nipah, sebuah pintu yang Serylina tiada tahu menahu akan mana halanya. Kepala yang pening dan berdenyut-denyut, Serylina cuba untuk meredakan dengan mengurut-urut kepalanya. Rambutnya yang mengurai, kotor dengan debu tanah dan kepingan-kepingan daun kering yang melekat. 
Lantai buluh itu berkiuk lagi, namun datang bukan dari Serylina, dari satu-satunya pintu yang berada di bilik itu. Serylina mula berdebar menanti kelibat yang akan muncul. Matanya sudah merenung pintu itu. Seorang perempuan bersangul masuk ke dalam. Pakaiannya berkain sarung, punya baju yang putih labuh ke bahagian pinggul, berenda di bahagian dada dan lengan, kainnya lembut seolah-olah apabila si pemakai berjalan, bajunya ibarat daun kelapa yang ditiup angin sepoi berbahasa. Mengasyikkan. 
“Cik, maafkan saya, saya dima…”
“Kamu di rumah nenek,”
Belum sempat Serylina menghabiskan ayatnya.
“Kamu boleh minum air ini”
Lantas selesai menghidang air putih, perempuan itu segera beredar. Meninggalkan Serylina dalam kebingungan. Masih wujudkah nenek kebayan? Namun pertanyaan itu masih berkurung dalam hatinya, tekak yang haus sudah tidak tertahan, gelas yang dihidang diteguk isinya. Tawar, namun cukup menyegarkan. 
Bunyi tapak kaki kedengaran lagi. Kali ini kelibat seorang nenek tua muncul di daun pintu. Serylina tersedak sedikit, kerana nenek itu melihatnya dengan pandangan yang tajam. Orang tua itu bongkok dan berpakaian jubah putih yang hampir lusuh. Nenek kebayan? Ingin sahaja Serylina bersuara namun tidak terdaya. Dia kaku menanti apakah urusan nenek tua itu muncul sedemikian masa. 
“Selepas ini engkau akan ku turunkan ke tanah, panduanmu hanyalah mengikut bunga kemboja putih, ingat jangan sesekali undur langkahmu kebelakang. Sampai engkau bertemu pokok kemboja petiklah bunganya yang berwarna kuning, minum madunya, jangan tertinggal setitis pun. Disana engkau akan bertemu dengan orang pertama yang paling risau akanmu.”
Sekelip mata, Serylina sudah berada di atas tanah. Sekelilingnya dipenuhi pokok yang tinggi-tinggi dan semak samun duri yang apabila dilalui pasti akan tercalar kulit.  Kata-kata perempuan tua itu masih terngiang-ngiang di mindanya. Apakah harus dia turuti segala panduang perempuan itu? Yang paling memeningkan, haruskah dia percaya walhal tiada dalam memorinya pernah bertemu perempuan itu, apatah lagi mengenalinya. Namun dalam hati, seakan membenarkan kata-kata perempuan itu, lagipun matahari nampaknya beransur sirna, maka dia mencari-cari kelopak bunga kemboja putih seperti yang dibilang nenek tua itu tadi.
Setelah menyelusuri ruang-ruang samun, akhirnya Serylina tiba di pohon bunga kemboja, dicari-carinya kemboja kuning, dipetik batang nya dan diminum madunya. Tanpa setitis pun yang tinggal.
Selang beberapa minit, satu suara memanggil nama Serylina. Alangkah gembiranya hati Serylina apabila melihat kakandanya datang bersama beberapa lelaki. 
“Dinda ke mana sayang? Sudah 3 hari adinda menghilang?”
Serylina diam ligat mencari jawapan, apa yang perlu disampaikan?
“Dinda hanya disini dari tadi, tidak ke mana-mana, apa betul sudah tiga hari berlalu?” Serylina tercengat, seingatnya dia, sejak tadi dia di bawah pohon kemboja semenjak turun ke rumah adindanya, Sermiahsani.
” Tak apalah yang penting adinda selamat”
Paduka Fayyadh memimpin adinda nya yang kebingungan, namun di hatinya cukup gembira akan perjumpaan buah hatinya itu. Serylina dan Paduka Fayyadh serta lelaki-lelaki yang mengirinya beransur pulang meninggalkan pohon kemboja itu.
Dari kejauhan, berdiri seorang nenek tua melihat kelibat manusia yang beransur pulang itu, dia tersenyum, lalu menaiki tangga ke rumah usang yang tiang berkaki ayam. Semakin nenek tua itu sampai ke pintu rumah, susuk badannya yang bongkok beransur tegak menjadi seorang perempuan berbaju putih labuh ke pinggul.
Sudah habis baca? Tolong beri pandangan. XD